Monday, April 21, 2014

Pandelela tekad kekal momentum

Kuching: Ratu terjun negara Pandelela Rinong (gambar) berharap mampu mengekalkan momentum dan fokus untuk memenangi peringkat ketiga Siri Terjun Dunia di London hujung minggu ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012 itu memecah kebuntuan pada Siri Terjun Dunia dengan meraih pingat perak pada peringkat pertama dan kedua di Beijing dan Dubai bulan lalu.
“Tahap keyakinan saya sama dan melakukan rutin latihan untuk mengekalkan fokus.

Saya tidak sabar memenangi pingat perak ketiga dalam acara 10 meter platform individu dan juga 10m platform seirama dengan Leong Mun Yee,” kata Pandelela.

Penerjun Sarawak itu berkata, sekalipun sukar untuk mengatasi penerjun China, Liu Huixia, dia akan tetap turun memberikan yang terbaik dalam usaha memburu pingat emas sulungnya.

Pada siri kedua di Dubai, Pandelela meraih 358.75 mata dalam acara 10m platform individu selepas meraih 368.50 mata pada siri pertama di Beijing minggu sebelumnya.

Pandelela menyifatkan persembahan mantapnya hasil latihan keras di Guangzhou, China.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment