Friday, April 04, 2014

Pandelela Janji Lakukan Yang Terbaik Di London


PETALING JAYA, 3 April (Bernama) -- Ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang baru sahaja memenangi pingat perak pada pusingan kedua Kejohanan Siri Dunia FINA di Dubai berjanji akan melakukan yang terbaik pada pusingan seterusnya di London pada 25 hingga 27 April ini.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada kejohanan tersebut, tetapi saya berjanji akan buat yang terbaik dalam kejohanan itu nanti," katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus-KBS 2013 di sini hari ini.

Sebagai persediaan ke London, katanya beliau sedang menjalani latihan untuk memantapkan lagi kemahiran terjunannya.

Pandelala juga memuji prestasi atlet muda terutama Muhammad Nazreen Abdullah yang dilihat antara penerjun pelapis yang berpotensi mengharumkan nama negara dalam sukan terjun pada masa depan.

Muhammad Nazreen, 15, dinobatkan atlet remaja terbaik pada majlis anugerah tersebut berdasarkan prestasi cemerlang beliau ketika penyertaan Sukan SEA di Myanmar, Disember lepas.

Beliau memenangi dua pingat emas dalam acara 10m platform individu dan 10m platform seirama bergandingan dengan Ooi Tze Liang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment