Friday, April 25, 2014

Mesyuarat Agung PSM: Hanya Empat Bulan Dibenar Tangguh - Khairy

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Permohonan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan persatuan itu sehingga akhir tahun ini disifatkan sebagai tidak masuk akal, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, beliau berkata PSM tetap diberikan tempoh penangguhan selama empat bulan sahaja untuk mengadakan mesyuarat terbabit.

"Empat bulan sudah memadai dengan mengambil kira bulan Ramadan dan beberapa perkara lain. Lebih daripada itu, tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Simposium Kejurulatihan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di Seri Kembangan, dekat sini, Khamis.

Sementara itu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) ketika dihubungi Bernama mengakui telah meluluskan permohonan PSM untuk menunda mesyuarat agung persatuan yang sepatutnya diadakan pada akhir bulan ini.

Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya telah menerima pemohonan rasmi dari PSM berserta dengan bukti persetujuan daripada anggota gabunganya pada Februari lepas.

"Kesibukan PSM dengan beberapa aktiviti seperti Sukan Malaysia (Sukma), bulan Ramadan dan Syawal juga diambil kira selain ketiadaan Presiden (Datuk Ahmad Ismail) di dalam negara selama tiga bulan," katanya.

Ahmad Shapawi berkata walaupun telah diberikan tempoh tangguhan sehingga bulan Ogos ini, persatuan sukan itu diharap dapat mengadakan mesyuarat agung tahunannya lebih awal.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment