Thursday, April 03, 2014

‘Lepas jawatan jika tak berani’


Kuala Terengganu: “Letak jawatan atau tarik diri jika tak berani buat keputusan. Jangan nak lari kerana kita ada tanggungjawab,” kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Reaksi itu ditujukan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disifatkan membuat keputusan ‘pilih bulu’ kerana hanya menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di stadium sehingga mencetuskan insiden ‘Terowong Larkin’.

Ahmad berkata, anggota jawatankuasa terbabit perlu menarik diri atau melantik anggota lain kerana tidak mampu memikul tanggungjawab dan membuat keputusan secara adil.

“Saya pelik sebab atas sebab keselamatan, FAM jatuhkan hukuman kepada Johor DT kerana gagal sediakan kawalan keselamatan sedangkan ‘siapa’ yang sebabkan benda itu tak selamat, mesti dikenal pasti dan dijatuhkan hukuman.

“Jika kita sebagai hakim atau jawatankuasa disiplin buat keputusan secara terpilih atau tak berani buat keputusan, letak jawatan kerana tak mampu berlaku adil.

“Lebih baik tarik diri dan beri orang lain jalankan tanggungjawab, jangan lari kerana kita ada tanggungjawab,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, semalam.
FotoAhmad Said
Menurutnya, beliau juga tidak berpuas hati dengan cara jawatankuasa itu mengendalikan kes berkenaan yang langsung tidak memanggil wakil T-Team untuk memberi keterangan berhubung insiden ‘Terowong Larkin’.

Selain itu, katanya janji FAM untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu sebelum ini hanya sekadar cakap-cakap kosong sekali gus menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada badan induk itu.
“Saya tunggu juga berita daripada FAM sebab dulu kata nak panggil semua pihak untuk ambil keterangan, tapi sehingga tiga hari lalu tidak ada apa-apa pun dan sampai akhir T-Team tak dipanggil.

“Sebelum ini bukan main sedap bercakap nak ambil tindakan tegas, tapi cakap saja. Sebab itu saya kata kalau tak boleh buat keputusan letak jawatan.

“Orang macam inilah buat mutu bola sepak Malaysia tak naik-naik, tak berani bertanggungjawab kerana sepatutnya yang salah tetap salah.

“Tapi tak tahulah pula saya kalau yang pukul itu tangan ghaib menyebabkan FAM tak dapat kesan, macam dalam filem,” katanya.

Katanya, FAM juga tidak perlu menunggu sehingga dua tahun untuk mana-mana pihak meneruskan kes jika Jabatan Peguam Negara atau polis tidak mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Sebaliknya, Ahmad menegaskan FAM sepatutnya boleh membuat keputusan sendiri kerana mempunyai peraturan sendiri.



Oleh Noor Aznida Alias, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment