Friday, April 25, 2014

Komitmen Semua Pihak Perlu Untuk Tingkatkan Prestasi Bola Sepak - Khairy


KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Komitmen semua pihak dituntut dalam melaksana dan merealisasi Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dilancarkan baru-baru ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

PPBN telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 April lepas dengan matlamat ia menjadi pelan nasional bagi mengangkat martabat dan mutu sukan bola sepak negara.

"Semua pihak perlu bekerjasama, bukan hanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sahaja dalam menyelaraskannya tetapi sebaliknya semua pihak termasuk pihak swasta dan individu.

"Antara aspek yang penting adalah kejurulatihan. Aspek kejurulatihan ini memainkan peranan yang amat kritikal dalam memastikan visi dan misi PPBN menjadi kenyataan," katanya dalam ucapannya semasa menutup edisi pertama Simposium Kejurulatihan PPBN di Seri Kembangan, dekat sini Khamis.

Menurut beliau, antara kekangan dalam usaha itu adalah jurulatih yang tidak bertauliah, kurang pengetahuan teknikal, bebanan tugas yang tidak setimpal dengan gaji, pilih kasih dan tidak mempunyai kepakaran khas melatih di peringkat akar umbi.

Justeru, Khairy berkata sistem kejurulatihan perlu menjadi lebih progresif, tersusun dan berkualiti.

"Bidang kejurulatihan menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan PPBN kerana negara memerlukan jurulatih yang berkualiti selaras dengan penambahan pusat-pusat latihan dan juga jumlah pelatih.

"Menjelang tahun 2020 di bawah pelan ini (PPBN), disasarkan sejumlah 2,472 jurulatih mampu disediakan iaitu pertambahan 540 peratus daripada jumlah yang ada sekarang," kata Khairy.

Menurutnya, jumlah jurulatih sepenuh dan separuh masa yang ada sekarang ialah 387 orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata jurulatih yang terlibat dalam PPBN dijadual akan dibawa untuk menjalani latihan di Akademi Kelab Bola Sepak Queens Park Rangers di London, September ini.

Selain itu, sebanyak 22 pemain bawah 12 tahun akan mengikuti latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan di Jerman, bulan depan, katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment