Wednesday, April 30, 2014

Khairy gesa tingkat mutu skuad kebangsaan


Kuala Lumpur: Prestasi hambar anak buah Datuk Ong Kim Swee pada aksi persahabatan di Cebu, Filipina Ahad lalu mengundang kerisauan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari segera formula terbaik membaiki persembahan pasukan negara.

Pada aksi di Pusat Sukan Kota Cebu itu, skuad kendalian Kim Swee hanya mampu seri 0-0 bertemu Filipina dengan hampir 70 peratus permainan dikuasai pasukan tuan rumah yang lebih terkenal dengan sukan bola keranjang.

“Saya tidak mahu menyentuh banyak mengenai skuad negara. Walaupun kita tahu kedudukan Kim Swee hanya jurulatih sementara, tapi beliau sudah melakukan yang terbaik.

“Terpulang kepada FAM memikirkan formula bagi memperbaiki persembahan pasukan kebangsaan,” katanya ditemui pada pelancaran liga badminton profesional ‘Malaysia Purple League’ di sini, semalam.

Khairy turut menegur FAM agar lebih komited dan bersungguh-sungguh dalam menangani kelemahan mutu pengadilan dalam saingan liga tempatan.

“Soal kawal selia permainan bola sepak ini bukan di bawah KBS, tapi tanggungjawab FAM. “Perkara ini kita sudah bangkitkan beberapa kali, namun masalah ini masih lagi berlaku. Saya harap FAM dapat pertingkatkan usaha membendung keganasan bola sepak di kalangan penyokong dan jangan pandang ringan perkara ini.

“Apabila ada tindakan atau serangan ke atas pengadil atau sebagainya, ia langsung tidak membantu malah menggalakkan penyokong untuk buat perkara sama. “Bayangkan pengurus pasukan dikatakan boleh menumbuk pengadil, sudah tentu penyokong melihat perbuatan itu. “Itu contoh yang tidak baik, justeru FAM harus mengambil tindakan pantas menghukum pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim II.

“Saya juga minta FAM supaya meningkatkan kualiti pengadilan agar tidak ada apa-apa keraguan berlaku kerana ia boleh buat penyokong rasa tidak puas hati,” katanya.


Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment