Thursday, April 03, 2014

Khairy, BAM bertemu


Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti akhirnya pertemuan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berlangsung buat kali pertama, semalam.


Antara tumpuan utama perbincangan kedua-dua pihak adalah mengenai keinginan pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang mahu beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Menurut Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria, pemain perseorangan pertama dunia itu sudah menyatakan hasrat kepada Khairy untuk cuba beraksi pada pentas Olimpik.

“Banyak perkara yang dibincangkan serta beberapa perkara baru dibentangkan kepada Menteri.

“Antaranya kita bentangkan persediaan untuk saingan Piala Thomas di India serta bagaimana mahu membantu Chong Wei untuk membolehkannya beraksi pada Sukan Olimpik 2016.

“Ini kerana Chong Wei sendiri sudah nyatakan hasrat untuk bertanding pada Sukan Olimpik,” katanya.
FotoCHONG Wei prospek emas negara di Brazil.
Ditanya tidakkah Chong Wei sudah menyatakan hasrat untuk bersara hujung tahun ini sekali gus menolak hasrat untuk beraksi di pentas Olimpik, Norza berkata, Chong Wei sendiri sudah menyatakan hasrat itu kepada Khairy.

“Bagi KBS pun, prospek terbaik untuk negara meraih pingat emas di Brazil adalah menerusi Chong Wei,” katanya yang turut menyatakan banyak perkara di peringkat akar umbi turut dibentangkan kepada Khairy semalam.
Khairy pada Januari lalu menegur BAM selepas menyaksikan hampir sebahagian besar wakil negara tersingkir awal pada saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia.

Sementara itu, pada saingan Terbuka India semalam, Goh V Shem-Lim Khim Wah yang tewas pada final Grand Prix Emas di Johor Bahru, Ahad lalu berjaya menewaskan pasangan tuan tumah Manu Attri-Sumeeth Reddy 21-19 21-19 pada pusingan pertama.

Gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing turut mencatatkan kemenangan ke atas pilihan kelapan dari Jepun Kenichi Hayakawa-Misaki Matsutomo 21-15 8-21 23-21.

Namun pemain perseorangan negara Chong Wei Feng tewas kepada Sho Sasaki dari Jepun 12-21, 21-15, 19-21.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment