Wednesday, April 16, 2014

Jurugambar NSTP Cedera Dibaling Objek Keras Di Stadium Perak


IPOH, 15 April ( Bernama) -- Seorang jurugambar akhbar New Straits Times cedera di kaki akibat dibaling objek keras dalam insiden kekecohan selepas tamat perlawanan Liga Super Perak menentang Johor Darul Takzim (JDT) di sini malam Selasa.

Ketika kejadian, Supian Ahmad sedang merakam foto kekecohan yang berlaku di dalam Stadium Perak.

Sementara itu, kaki wartawan Sinar Harian Razif Rosli terkena mercun manakala seorang anggota polis cedera di mata akibat dibaling objek.

Selepas tamat perlawanan, penyokong JDT diminta agar tidak keluar dari stadium berkenaan terlebih dahulu kerana dikhuatiri berlaku kekecohan.

Bagaimanapun, kekecohan tetap berlaku yang menyaksikan penyokong kedua-dua pasukan saling membaling pelbagai objek keras serta mercun.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melontar gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Perak yang tidak berganjak di luar stadium.

Polis terpaksa mengiringi empat bas yang dinaiki penyokong dan pegawai pasukan JDT ketika keluar dari pekarangan stadium.

Difahamkan, polis menahan empat penyokong Perak yang disyaki melakukan provokasi selepas perlawanan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment