Thursday, April 24, 2014

Jeremiah Loo Tempah Tiket Ke Sukan Olimpik Remaja, Nanjing

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Gimnas negara Jeremiah Loo Phay Xing sah menempah tiket ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 18 Ogos.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) N. Shanmugarajah berkata Loo melayakkan diri ke kejohanan itu melalui Kejohanan Remaja Asia ke-13 di Tashkent, Uzbekistan pada awal bulan ini.

"Ini merupakan pencapaian tertinggi atlet gimnastik artistik negara, kita harap Jeremiah akan merangkul pingat pada kejohanan berkenaan. Saya yakin dengan kebolehan beliau.

"Lagi pun, Jeremiah kini menjalani latihan intensif di Kunming, China sejak awal tahun lepas. Jadi dia dilatih dengan teratur," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata Loo akan bertanding dalam acara palang sejajar dan kekuda berpelana namun bergantung kepada gimnas berkenaan jika mahu mencuba acara lain.

Sebelum ini seorang lagi gimnas negara, Olivia Tai Qing Tong, turut menempah slot ke kejohanan sama melalui pencapaian cemerlangnya pada Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-13 pada Februari lepas.

Tai meraih pingat emas bagi acara individu apparatus belantan dengan catatan mata tertinggi, 14.500 mata, pingat perak bagi acara individu apparatus riben dengan pungutan 14.150 mata serta trio Tai, Shasangari Sivaneswary dan Koi Sieyan menduduki tempat keempat dengan pungutan 131.150 mata daripada 12 negara yang mengambil bahagian.

Dengan kelayakan ini, MGF kini mempunyai dua gimnas yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan edisi kedua itu yang merupakan pencapaian tertinggi pernah dicapai mana-mana gimnas negara serta MGF sendiri.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment