Thursday, April 24, 2014

'Jangan sampai guna import'

ASTAMAN menganggap sikap menuding jari kepada FAM bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan kontroversi pengadil Liga M.


PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Astaman Abdul Aziz menegaskan, tidak wajar untuk meletakkan kontroversi yang membabitkan mutu pengadilan dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini di bahu pihaknya semata-mata.

Sebaliknya, semua pihak terutamanya persatuan-persatuan negeri perlu memainkan peranan untuk melahirkan lebih ramai pengadil-pengadil yang berwibawa.

Astaman yang akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden FAM pada Kongres ke-50 pada 25 Mei depan berkata, beliau menganggap sikap 'menuding jari' terhadap FAM bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan kontroversi itu.

Beliau mengakui ketika ini tidak ramai individu yang berani untuk memohon jawatan sebagai pengadil, sekali gus menyebabkan sumber pengadil yang dimiliki FAM sangat terhad.
"Setiap persatuan negeri ada Pegawai Pembangunan Pengadil (PPP). Pengkritik seharusnya mengetahui fakta bahawa FAM tidak memilih pengadil tetapi ia dilakukan sendiri PPP.

"Sesuatu yang tidak adil apabila berlaku kontroversi yang membabitkan pengadil, pengkritik mahu menyalahkan FAM. Sumber yang kami memiliki sangat terhad.

"Tidak ramai individu yang berminat untuk menjadi pengadil. Tahun ini, hanya 98 orang mengambil ujian pengadil tetapi yang menepati piawaian tidak sampai separuh.

"FAM tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi saya rasa, perbincangan dengan persatuan-persatuan negeri adalah jalan yang terbaik. Mereka tahu apa tugas mereka dalam isu ini.

"Jika tiada orang berminat untuk menjadi pengadil atau tiada persatuan negeri mahu bekerjasama menggerakkan PPP, jangan salahkan FAM jika kami menggunakan khidmat pengadil import," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pelbagai kontroversi membabitkan mutu pengadilan tercetus sejak awal musim ini sehingga beberapa pasukan di Liga M mula meragui kewibawaan pengadil tempatan.

Dalam insiden terbaharu, Sukri Abdul Rahman diserang pengurus Johor Darul TaKzim II (Johor DT II), On Jabbar@Jaafar selepas mengadili aksi Liga Premier UiTM FC yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Astaman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Liga M akan ketandusan pengadil jika perkara tersebut berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Seperti yang saya katakan tadi, setiap pihak kena main peranan. Jika persatuan negeri tidak buat satu penanda aras untuk pengadil-pengadil beraksi pada liga tempatan sendiri, bagaimana mereka mahu meraih pengalaman?

"Mengambil contoh, jika ada seorang pengadil dari Melaka ini sangat bagus tetapi mereka (Melaka) sendiri tiada liga tetapi prestasi seorang pengadil dari Terengganu sekadar biasa-biasa tetapi beraksi penuh dalam liga mereka, manakah pilihan anda?

"Jadi, tidak wajar mahu meletakkan kesalahan kepada pengadil dan pihak kami sentiasa memberikan tugasan yang terbaik ketika mengadili perlawanan," katanya.



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment