Tuesday, April 29, 2014

Jangan mimpi!


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Rashid Sidek membayangkan skuad badminton negara berdepan tugas getir memburu slot ke separuh akhir pada pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas di New Delhi, India pada 18 hingga 25 Mei ini.

Memandangkan format pertandingan Piala Thomas memerlukan kekuatan seimbang dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu, Rashid berpendapat sasaran diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mara ke separuh akhir mustahil dicapai berdasarkan kepada keputusan pemain perseorangan dan beregu negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang amat mengecewakan.

“Saya tidak fikir mereka layak beraksi di Piala Thomas kali ini kerana masih banyak kekurangan. Realitinya prestasi pemain perseorangan kita tidak berada dalam prestasi terbaik, hanya (Datuk Lee) Chong Wei harapan kita. “Tapi Piala Thomas memerlukan kekuatan seimbang semua acara. Pemain seperti Liew Daren, Chong Wei Feng, Misbun Ramdan (Misbun) dan yang lain sangat jauh prestasi mereka jika dibandingkan dengan Chong Wei. “Kita boleh mengharapkan satu mata daripada Chong Wei, tapi bagaimana pula dengan pemain lain.

“Sepanjang latihan juga, saya dapat lihat kurangnya keyakinan dan motivasi dalam kalangan pemain. Mungkin ini disebabkan mereka juga sedar betapa peluang untuk menyerlah di sana (India) nanti amat tipis,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Sementara itu, slot terakhir acara perseorangan negara bakal ditentukan hari ini antara pemain di bawah naungan BAM, Goh Soon Huat dengan pemain profesional Ramdan selepas seorang lagi pemain perseorangan muda negara, Zulfadli Zulkifli tidak hadir pada sesi pemilihan terakhir semalam.

“Esok (hari ini) kita akan adakan perlawanan terakhir antara Ramdan dan Soon Huat bagi mengisi tempat terakhir. Saya tidak tahu kenapa Zulfadli tidak datang walaupun kita sudah maklumkan kepadanya menerusi surat jemputan yang dihantar BAM. Sekarang, hanya tinggal dua orang,” katanya.

FotoCHONG Wei harapan negara di New Delhi.



Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment