Thursday, April 17, 2014

Jadikan Malaysia Warga Cergas Bersukan - Khairy



SHAH ALAM, 16 April (Bernama) -- Menjadikan Malaysia warga cergas bersukan menjadi impian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ke arah meningkatkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan prestasi sukan negara di persada antarabangsa.

Katanya, budaya bersukan di negara ini mesti bermula di peringkat akar umbi dan pihak kementerian berusaha keras memastikan hasrat itu tercapai.

"Contohnya Australia, meskipun bilangan penduduknya lebih rendah daripada negara kita, namun budaya dan mentaliti rakyat mereka menjurus kepada keupayaan bersaing di persada antarabangsa," katanya.

Berucap merasmikan Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2013 di sini Selasa malam, Khairy berkata usaha juga akan tertumpu untuk melahirkan lebih ramai atlet yang memiliki kelayakan akademik secukupnya.

Pada majlis itu, Khairulnizam Mohd Afendy, 21, atlet sukan perahu layar dan Fazilla Sylvester Silin, 27, daripada sukan hoki masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2013.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau bangga dengan pencapaian UiTM dalam bidang sukan yang dilihat mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Atlet UiTM bukan sahaja mampu bersaing di peringkat universiti malah bersaing dengan atlet profesional. Kalau inilah contoh ditunjukkan UiTM, sudah pasti negara kita akan menjadi 'sporting nation' yang berjaya di masa depan," tambahnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment