Friday, April 25, 2014

‘Hukuman berat!’


Kuala Lumpur: “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu kenakan hukuman berat!”
Itu pandangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap hukuman yang perlu dikenakan terhadap bekas pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT II), On Jabbar @Jaafar susulan tindakannya menumbuk pengadil Sukri Abdul Rahman baru-baru ini.

Khairy menyifatkan kesalahan dilakukan On itu amat berat dengan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadapnya.

“Beliau sudah melakukan kesalahan besar, malah sebagai penjawat awam kanan sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terutamanya terhadap penyokong muda.
“Walaupun tidak berpuas hati, beliau tidak boleh melakukan tindakan seperti itu.

Tindakan seperti itu tiada dalam bola sepak kita,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak kelmarin berkata, On tidak akan terlepas daripada tindakan pihaknya walaupun sudah dilucutkan jawatan sebagai pengurus JDT II oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Insiden menumbuk pengadil berkenaan berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) selepas tamat perlawanan membabitkan JDT II menentang UiTM FC dalam aksi Liga Perdana yang berkesudahan seri 2-2.

Sekiranya didapati bersalah melanggar Kod Tatatertib FAM membabitkan Perkara 2.5, On berdepan hukuman penggantungan seumur hidup.

Mengenai keputusan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang berhasrat mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 30 tahun lalu, Khairy berkata ia adalah hak beliau.

“Saya berharap ahli gabungan akan membuat keputusan yang terbaik kerana terdapat tiga calon yang bertanding,” katanya.

Selain Sultan Ahmad Shah, turut mengesahkan untuk mencabar kerusi nombor satu itu adalah Timbalan Presiden FAM yang juga anakandanya, Tengku Abdullah serta Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada pemilihan pucuk pimpinan badan berkenaan yang dijadualkan berlangsung 25 Mei nanti.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment