Wednesday, April 02, 2014

FAM tidak cukup bukti dakwa dua tonggak import Johor DT



STEWART (kanan) dan rakan sepasukannya, Zeshan Rahman hadir ke Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.



DUA tonggak import Johor Darul Takzim (Johor DT) - Pablo Aimar dan Luciano Figueroa didapati tidak bersalah atas pertuduhan melemparkan kata-kata berbaur perkauman kepada tonggak pertahanan Pahang, Damion Stewart.

Ia disebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati tuduhan Stewart terhadap kedua-dua bintang Harimau Selatan itu sebagai tidak mengikuti prosedur.

Sebelum ini, Stewart mendakwa dia dihambur dengan kata-kata berbaur perkauman seperti 'monyet' dan 'negro' pada pertemuan antara Pahang dan Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 7 Februari lalu.

Begitupun, Timbalan Pengerusi Tatatertib FAM, Ednan Othman memberitahu, kes itu terpaksa digugurkan selepas pihaknya mendapati bukti tidak mencukupi.

"Kami cukup memandang serius dalam kes perkauman ini kerana ia boleh dikatakan perkara ini agak baharu dalam bola sepak Malaysia.

"Denda bagi pemain atau pegawai yang dikaitkan dengan kes perkauman ini adalah sebanyak RM15,000 dan digantung lima perlawanan manakala persatuan terlibat dikenakan denda RM60,000.
"Begitupun, dalam kes ini, kami mendapati dakwaan (Stewart) itu tidak begitu mencukupi kerana dia seharusnya melakukan laporan terhadap pengadil dalam aksi tersebut.

"Itulah prosedur sebenarnya dan jika Stewart berbuat demikian, pengadil tersebut boleh melayangkan kad kuning atau merah kepada tertuduh.

"Sikap perkauman adalah satu perbuatan tidak bermoral tetapi dalam kes ini, kami terpaksa mengugurkan kes kerana mendapati tuduhan itu tidak mempunyai bukti yang cukup," katanya semalam.

Ednan turut memberitahu bahawa Persatuan Bola Sepak Sarawak dikenakan hukuman RM10,000 atas dua kesalahan.

Dua kesalahan tersebut adalah penyokong Sarawak membakar dan membaling api suar ketika aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 18 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment