Friday, April 25, 2014

FAM Perlu Tegas Terhadap Kesalahan Tumbuk Pengadil - Khairy

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengenakan hukuman berat terhadap bekas pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), On Jabar berikutan terbabit dalam insiden menumbuk pengadil perlawanan Sabtu lepas.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun On telah dilucutkan jawatan dan didenda sebanyak RM25,000 oleh pihak pengurusan persatuan berkenaan, namun tindakan yang dilakukan adalah terlalu berat dan memalukan.

"Kesalahan yang dilakukan adalah berat, malah sebagai seorang penjawat awam, dia sepatutnya menunjukkan contoh terbaik kepada penyokong.

"Sekiranya pun tidak berpuas hati, beliau tidak boleh membuat tindakan sebegitu," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Simposium Kejurulatihan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di Seri Kembangan, dekat sini, Khamis.

On mencetuskan kegemparan Sabtu lepas apabila menumbuk muka pengadil Sukri Abdul Rahman selepas tamat perlawanan antara pasukannya dengan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang berkesudahan seri 2-2.

Kejadian tercetus ketika pemain kedua-dua pasukan hendak meninggalkan padang apabila On tiba-tiba menumbuk muka Sukri sebelum mereka disuraikan dan beliau dibawa keluar padang dengan diiringi pihak polis.

Sementara itu, mengenai pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Presiden FAM, Khairy berkata anggota gabungan mempunyai hak dan citarasa tersendiri untuk membuat pemilihan yang terbaik terhadap peneraju persatuan.

"Itu adalah hak Presiden untuk mempertahankan jawatan beliau. Ahli gabungan dapat membuat keputusan yang terbaik sebab ada tiga calon," katanya.

Pada 19 April lepas, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan presiden FAM yang disandangnya sejak 30 tahun lepas.

Baginda akan ditentang oleh anakandanya yang juga Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment