Thursday, April 03, 2014

FAM perlu pantas selesai kes



Kuala Lumpur: Pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat FAM seharusnya menyelesaikan kes ‘Terowong Larkin’ dengan lebih pantas kerana ia isu besar yang menjadi tumpuan semua pihak.
“Pada asasnya, setiap badan organisasi memiliki cara dan SOP (standard operating procedure) menangani sesuatu hal atau kes mengikut masa ditetapkan.

“Contohnya seperti kes pemain Liverpool, Luis Suarez yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain Manchester United, Patrice Evra dan FA England menyelesaikannya dalam tempoh singkat.

“Saya hairan kenapa FAM masih menangguhkan isu itu, padahal ia boleh diselesaikan lebih awal. Saya faham FAM tidak mahu keputusan diambil bertindih dengan keputusan siasatan dilakukan polis.

“Cuma setahu saya, siasatan pihak polis sebenarnya lebih baik kerana ini kepakaran mereka,” katanya semalam.

Menurut Serbegeth , FAM harus menyelesaikan isu ini dengan bijaksana dan cepat supaya tidak timbul sebarang fitnah hingga mencalar reputasi badan induk bola sepak itu.
Beliau turut berkongsi pandangan mengenai perebutan kerusi Presiden pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM yang dilihat olehnya sebagai suatu perkembangan positif.

“Kali ini lebih ramai tampil mencabar kerusi nombor satu FAM. Itu suatu perkembangan sihat dan bagus. Cuma saya harap ahli kongres dapat memilih calon benar-benar layak serta calon yang mampu membawa revolusi kepada bola sepak negara,” katanya.


Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment