Friday, April 18, 2014

FAM harus tegas

SEGELINTIR penyokong Perak membakar suar ketika aksi Liga Super antara Perak dan Johor DT di Stadium Perak, Ipoh Selasa lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertindak tegas menyelesaikan insiden kekecohan yang berlaku selepas aksi Liga Super antara Perak dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh Selasa lalu.

Demikian ulas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar kecil) mengenai kekecohan yang menyaksikan penyokong tuan rumah bertindak di luar kawalan selepas dikatakan tidak berpuas hati atas kekalahan Perak kepada Johor DT pada perlawanan tersebut.

Khairy berkata, FAM perlu mengenakan hukuman yang lebih berat bagi memberi pengajaran kepada mana-mana persatuan ekoran kelakuan penyokong mereka yang bertindak di luar kawalan ketika sesuatu perlawanan berlangsung.

“Saya rasa mereka boleh menghukum pasukan dengan lebih cepat dengan hukuman yang berat kerana pasukan perlu bertanggungjawab untuk memberitahu kumpulan penyokong mereka supaya jangan bertindak ganas sehingga mengakibatkan kekacauan.

“Ada pelbagai pilihan, contohnya pasukan yang penyokong mereka bertindak ganas harus didenda ataupun dipaksa bermain di stadium yang kosong.

“Tanggungjawab keselamatan adalah pada tuan rumah tetapi jika peminat atau penyokong daripada pasukan pelawat yang bertindak ganas maka pasukan tersebut harus dipersalahkan.

“Kita harus bertanggungjawab kepada penyokong kita,” kata Khairy kepada pemberita di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), Kuala Lumpur semalam.

Dalam insiden Selasa lalu, para penyokong Johor DT dikepung lebih daripada sejam selepas berlaku kekecohan sebaik perlawanan itu berakhir.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa bertindak menyembur air ke arah penyokong-penyokong Perak bagi meleraikan kekecohan itu.

Sebelum perlawanan bermula, bas yang membawa para penyokong Johor DT diconteng dengan cat kuning oleh segelintir penyokong Perak.

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment