Friday, April 18, 2014

Empat direman

Ipoh: Empat daripada lapan individu yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam insiden ‘amukan’ penyokong selepas perlawanan antara Perak dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Perak, malam Rabu lalu direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kesemua penyokong Perak itu, direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai mencetuskan kekecohan di dalam dan luar stadium sejurus perlawanan tamat.

“Susulan kekecohan yang berlaku, polis memberkas lapan individu berusia 16 hingga 25 tahun pada hari kejadian dan selepas siasatan awal dibuat, empat daripada mereka direman sehingga Sabtu ini bermula semalam (kelmarin) bagi siasatan lanjut.

“Manakala empat lagi individu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakamkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.

Chang Keong berada di HRPB bagi memantau proses bedah siasat dan kehadiran orang ramai yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Bekas Presiden DAP Karpal Singh yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 306.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, berhampiran Gua Tempurung, Kampar, dekat sini.

Menurutnya, keempat-empat lelaki yang direman itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam insiden itu, kekecohan berlaku apabila penyokong tuan rumah bertindak ganas membaling suar, mercun, batu dan pelbagai objek berbahaya ke dalam padang dan ke arah penyokong Johor DT selepas pasukan Perak tewas 0-1 dalam saingan Liga Super.

Insiden itu mengakibatkan dua petugas media iaitu jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Supian Ahmad dan wartawan Sinar Harian Razif Rosli yang membuat liputan perlawanan terbabit cedera akibat terkena balingan batu serta mercun.
Selain petugas media yang cedera, dua anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas menjaga kawalan keselamatan turut cedera, seorang cedera di bahagian bawah mata dan seorang lagi di kepala.


Oleh Muhammad Apendy Issahak, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment