Thursday, April 24, 2014

Dua kejohanan ISSF medan ujian Muslifah

Kuala Lumpur: Dua kejohanan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) pada Jun ini bakal menjadi medan pemanas badan untuk penembak wanita elit kebangsaan, Muslifah Zulkifli sebelum beraksi di temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Julai ini.

Dua kejohanan itu adalah Siri Kejohanan Piala Dunia ISSF di Munich, Jerman (4-13 Jun) dan Maribor, Slovakia (13-21 Jun).

“Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada dua kejohanan ini namun berharap dapat kekalkan corak persembahan saya di sana.

Memenangi pingat sebarang warna sudah cukup baik untuk saya,” katanya.
Selain kejohanan antarabangsa, Muslifah juga akan menyertai dua kejohanan tempatan iaitu Kejohanan Trofi Tun Hanif 2014 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang hujung minggu ini serta Kejohanan Piala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dari 7 hingga 10 Mei ini di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Mengenai peluang di Sukan Komanwel nanti, Muslifah yang masih bergelut dengan kecederaan belakang ketika ini, berkata beliau hanya menyasarkan satu pingat daripada tiga acara yang disertainya.

Dia akan mengambil bahagian dalam acara 10m Raifal Angin, 50m Raifal Prone dan 50m Raifal Tiga Posisi.

“Saingan pada Sukan Komanwel tahun ini agak mencabar memandangkan penganjur hanya mempertandingkan acara individu walaupun peluang skuad menembak kita lebih terarah dalam acara berpasukan,” katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment