Wednesday, April 09, 2014

Dimensi baru bola sepak negara


Kuala Lumpur: Akademi Bola Sepak Negara yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Gambang, Pahang, esok bakal memberi dimensi baru terhadap hala tuju dan kemantapan kemajuan bola sepak Malaysia dalam jangka panjang.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar (gambar) yang menyifatkan penubuhan Akademi Bola Sepak Negara yang terletak di bawah Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan menghasilkan seramai 500 pemain terbaik Malaysia, dipilih daripada 300 akademi bola sepak seluruh negara.

“Semua 500 pemain dipilih menerusi dua jenis akademi di peringkat daerah sebelum diserapkan ke Akademi Bola Sepak Negara menerusi NFDP yang akan beroperasi untuk tempoh 2014-2020.

“Program NFDP ini dibentuk dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mencari pemain yang kompetitif serta memiliki mentaliti bola sepak.

Foto

“Menerusi NFDP juga, saya boleh katakan kita akan mewujudkan falsafah dan cara permainan kita sendiri mengikut tahap fizikal pemain Malaysia seperti dilakukan Sepanyol, Jepun dan Korea yang membangunkan bola sepak masing-masing berdasarkan susuk fizikal mereka.

“Program ini usaha terbaik kita untuk cuba memperbaiki setiap kelemahan yang ada walaupun ia bukan penyelesaian 100 peratus,” katanya dalam wawancara khas dengan Arena Metro di Menara KBS, Putrajaya.

Program dua akademi setiap daerah itu membabitkan 150 daerah di Malaysia yang dibahagikan dua peringkat iaitu usia 7 hingga 12 tahun (Tunas) dan 13-17 (Remaja).

Akademi Bola Sepak Negara di Gambang yang menjadi pusat kecemerlangan bola sepak negara, dilengkapi pelbagai kemudahan seperti padang latihan, padang perlawanan, gimnasium moden serta dikendalikan pakar teknikal dan kejurulatihan profesional berpengalaman yang pernah bersaing dalam liga kompetitif Eropah.

Khairy berkata, pelaksanaan NFDP sehingga 2020 memberi penekanan terhadap pelbagai aspek menyeluruh berbanding apa yang pernah dibuat sejak empat tahun lalu.

“Kita sudah memulakan program bola sepak seumpama itu pada 2010. Walaupun akademi ada, tapi tidak cukup dan masih ada kelemahan. Kita perlu mengamalkan sikap profesionalisme dan berdasarkan NFDP, saya melihat usaha itu sebagai pemacu ke arah melahirkan pemain bola sepak yang lebih baik.

“Berbekalkan 59 akademi sedia ada di seluruh negara ketika ini, kita ada 5,454 pemain. Jumlah itu akan bertambah 50,950 menerusi 300 akademi bola sepak seluruh negara menjelang 2020.

“Malah, jurulatih seramai 734 sedia ada juga akan meningkat kepada 2,789 menjelang 2020. Jurulatih NFDP akan dihantar selama beberapa bulan mengikuti program teknikal lanjutan bersama kelab Queen’s Park Rangers (QPR) di England,” katanya.

Khairy berkata, akademi bola sepak daerah akan turut membabitkan penyertaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“NFDP juga akan mengadakan lebih banyak perlawanan liga di peringkat daerah. Saya percaya ada antara kalangan 50,000 pemain akan dapat dicari menerusi NFDP.

“Saya harap rungutan peminat akan dapat diatasi kerana program berkenaan bakal membuatkan permainan bola sepak kita menjadi lebih menarik berbanding gaya sekarang apabila kerap menyepak bola dari jauh, kurang daya inisiatif selain lemah dari segi teknikal dan taktikal.”



Oleh Esme Johari Wahab, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment