Wednesday, April 16, 2014

Dhaarma Raj buat eksperimen

 

MUHAMMAD SHAHRIL SAABAH (depan) cuba melepasi kawalan pemain China di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.


ENAM siri perlawanan persahabatan menentang China akan menjadi pengukur kekuatan skuad hoki senior negara sebelum mengharungi Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, Pahang bermula 26 April ini.

Ketika ini, skuad hoki negara telah mengharungi dua perlawanan persahabatan dengan China yang mana menyaksikan berjaya mencatat kemenangan 2-1, Ahad lalu dan seri 4-4 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Bagaimanapun ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mempunyai pandangan tersendiri terhadap percaturannya ketika menentang skuad bimbingan Yang Liu itu.

Katanya, beberapa pemain remaja yang beraksi dalam Divisyen Satu Liga Hoki Kebangsaan dipanggil menyertai barisan pemain skuad senior negara bagi mengharungi perlawanan persahabatan itu.

"Saya pecahkan kepada dua kumpulan dan juga telah memanggil beberapa pemain remaja.
"Bagi setiap perlawanan, saya akan turunkan empat atau lima pemain remaja sebagai 'pengacau' kepada pemain skuad senior.

"Saya mahu melihat bagaimana mereka (pemain senior) bertindak dengan bijak mengawal situasi sekiranya pemain remaja melakukan kesilapan.

"Lagipun saya mahu seimbang dengan China dan beri ruang kepada mereka untuk menyerang atau mendapatkan pukulan sudut penalti. Jadi, saya boleh melihat keupayaan penjaga gol dan pemain lain untuk bertindak.

"Jika saya tidak berbuat sedemikian, macam mana para pemain mahu membuktikan kemampuan mereka dalam fasa pemilihan ini.

"Sekarang, siapa yang diturunkan berpeluang membuktikan kepada saya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Empat lagi perlawanan akan berlangsung hari ini, esok, Sabtu dan Ahad di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bagi melengkapkan enam siri menentang China sebelum bertemu Perancis dan Poland di Pahang sebagai aksi 'pemanas badan' terakhir.

Mengulas lanjut, Dhaarma Raj menjelaskan, misi utama perancangannya itu bertujuan mahu memilih 18 pemain yang mempunyai tahap kekuatan sama bagi menggalas tugas ke Cabaran Juara-Juara 1.
"Saya mahu pemain yang ke-18 itu sama hebat dengan pemain yang berada dalam kesebelasan utama. Ia akan memberikan saya banyak pilihan sewaktu kejohanan berlangsung.

"Saya mahu pasukan saya seimbang agar semua pemain tidak mengalami keletihan dan dapat memberikan aksi yang terbaik sehingga tamat kejohanan," jelasnya.


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment