Thursday, April 17, 2014

Dhaarma kecewa


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kecewa kerana sekali lagi gagal menyaksikan persembahan Kevin Lim pada aksi perlawanan persahabatan ketiga bertemu China, semalam selepas pemain yang berpangkalan di Jerman itu masih belum pulih daripada kecederaan hamstring.

Kevin sepatutnya dapat diturunkan semalam namun tindakan pemain pertahanan itu yang menjalani rawatan akupuntur sebelum bermulanya perlawanan itu tanpa pengetahuan Dhaarma, mengundang rasa kurang senang pengendali berusia 45 tahun itu.

Ini kali ketiga berturut-turut dia tidak diturunkan pada siri perlawanan persahabatan dengan China.

Dhaarma tanpa berselindung menegaskan, sekiranya pemain berusia 27 tahun itu tidak mampu membuktikan keupayaan pada baki tiga lagi perlawanan persahabatan dengan China serta dua perlawanan bertemu Perancis dan Poland, beliau tidak akan teragak-agak untuk tidak memilih Kevin dalam senarai 18 pemain ke saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan Pahang bermula 26 April ini.

“Tidak kiralah sama ada mereka pemain dari Jerman, senior atau berstatus bintang, kalau mereka tidak mampu buktikan keupayaan diri, saya tidak akan teragak-agak untuk gugurkan mereka.

“Saya tidak pasti siapa yang menasihati Kevin untuk mendapatkan rawatan akupuntur hingga tidak dapat diturunkan, tetapi dia sepatutnya tidak perlu melakukan perkara itu.
FotoPEMAIN negara, Meor Mohamad Azuan Hasan (kanan) mengasak pemain China, Meng Lei (kiri), semalam.
“Tidak dinafikan Kevin memang bagus ketika sesi latihan, tetapi apabila pada perlawanan persahabatan dia tidak dapat beraksi, ia agak kelakar,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam yang menyaksikan skuad negara mencatat kemenangan 6-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Dhaarma berharap Kevin dapat beraksi pada perlawanan persahabatan keempat hari ini hingga perlawanan persahabatan terakhir dengan China, Ahad ini.
“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan persembahan pemain. Namun saya mengharapkan persembahan lebih bertenaga sebab hanya yang terbaik saja akan terpilih untuk beraksi di Kuantan,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment