Tuesday, April 15, 2014

Chong Wei Perlu Lebih Selektif - Zolkples

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei disaran bersikap lebih selektif dalam memilih kejohanan agar tidak menjejaskan persediaan beliau menghadapi temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata beliau faham jadual padat merupakan faktor utama prestasi pemain nombor satu dunia itu tidak konsisten apabila tewas kepada Simon Santoso dari Indonesia di final Siri Super Terbuka Singapura, semalam.

Chong Wei gagal merangkul gelaran keempat tahun ini selepas kalah mengejut kepada pemain bukan pilihan, Simon, 15-21 dan 10-21.

"Kalau cakap soal suruh beliau 'slowdown' atau memperlahankan rentak, dah banyak kali kita suarakan, semua terpulang pada Chong Wei dan jurulatihnya sendiri untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kontinjen negara ke Sukan Komanwel di MSN di sini Isnin.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata: "Saya lihat Chong Wei letih. Saya tahu kejohanan Super Siri penting tetapi kecergasan fizikal perlu diambil kira. Paling penting sekarang ini ialah Sukan Komanwel dan Sukan Asia."

"Kita perlu puji Simon, saya tidak pernah lihat beliau beraksi dengan baik seperti semalam.

"Kita perlu sedar Simon adalah pencabar skuad badminton untuk Sukan Asia dan Piala Thomas," katanya.

Chong Wei merupakan pemenang pingat emas bagi acara perseorangan lelaki Sukan Komanwel di Melbourne 2006 dan New Delhi 2010.

Sukan Komanwel dijadual berlangsung di Scotland dari 23 Julai hingga 3 Ogos manakala Sukan Asia dari 19 Sept hingga 4 Okt.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment