Tuesday, April 15, 2014

Chong Wei akui silap percaturan



Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengaku dia melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan dari Indonesia, Simon Santoso mudah menewaskannya pada final Kejohanan Siri Super Terbuka Singapura, kelmarin.
Chong Wei beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar apabila tewas mudah 15-21, 10-21 di tangan lawannya itu.

“Saya belum pernah saksikan Simon beraksi sebagus ini, terutama pada kejohanan ini. Bagi saya, dia sememangnya beraksi pada tahap terbaik.

“Saya rasa dia juga hanya mahu menikmati perlawanan final ini.

“Simon nampak lebih yakin sementara saya melakukan kesilapan mudah,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan Singapura semalam.

Kegagalan merangkul kejuaraan kelmarin sekali gus menyaksikan pemain perseorangan negara itu gagal meraih kejuaraan keempat tahun ini.
Chong Wei dilihat cemerlang selepas berjaya merangkul tiga kejuaraan setakat ini bermula dengan Siri Super Premier Terbuka Malaysia, saingan Seluruh England dan Siri Super Terbuka India.

Sementara itu Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong mahu Chong Wei lebih selektif memilih kejohanan agar tidak menjejaskan persediaan menghadapi temasya Sukan Komanwel Glasgow, Scotland dan Sukan Asia Incheon, Korea Selatan.
Beliau faham jadual padat adalah faktor utama prestasi pemain nombor satu dunia itu tidak konsisten apabila tewas di final Siri Super Terbuka Singapura.

“Kalau cakap soal suruh dia ‘slowdown’, dah banyak kali kita suarakan, semua terpulang pada Chong Wei dan jurulatihnya untuk buat keputusan,” katanya.

Chong Wei adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Melbourne 2006 dan New Delhi 2010.



 Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment