Thursday, April 17, 2014

Belum tekan butang 'panik'


DHAARMA RAJ (kanan) akan memberi peluang kepada Kevin untuk beraksi pada perlawanan persahabatan menentang China hari ini.


MUNGKIN tidak keterlaluan mengatakan ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah masih tidak ‘berminat’ untuk menguji kemampuan pemain berbakat dari Jerman, Kevin Lim.

Ini kerana Dhaarma Raj mengakui Kevin masih mempunyai peluang dalam lima perlawanan lagi biarpun sudah terlepas tiga aksi persahabatan menentang China di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil yang berlangsung ketika ini.

Semalam, Kevin tidak diturunkan sewaktu skuad negara mencatatkan kemenangan 6-1 ke atas China gara-gara mengalami masalah kecederaan hamstring.

Pemain pertahanan itu juga tidak diturunkan pada dua perlawanan persahabatan menentang China sebelum ini yang mana menyaksikan skuad negara menang 2-1 (Ahad) dan seri 4-4 pada Isnin lalu.
Biarpun tiga aksi fasa pemilihan sudah berlalu, Dhaarma Raj tidak gusar dengan situasi itu sambil menegaskan tiada layanan istimewa buat mana-mana pemain.

“Saya beri dia (Kevin) rehat untuk dua perlawanan. Harap dia dapat bermain hari ini (semalam).
“Namun, dia ada mengalami sedikit masalah hamstring dan kecederaan itu tidak begitu teruk. Dia masih ada lima perlawanan lagi selepas ini.

“Tiga perlawanan bertemu China di sini (hari ini, Sabtu dan Ahad) dan selepas itu, ada dua lagi perlawanan menentang Perancis dan Poland di Pahang nanti, jadi saya tak risau dengan perkara itu.
“Ditegaskan bahawa saya akan gugurkan pemain yang tidak mampu beraksi lebih bagus daripada pemain lain, tidak kiralah dia dari Jerman, senior atau mana-mana pemain lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Gol-gol skuad negara diperoleh menerusi Ahmad Kazamirul Nasirudin (19), Nabil Fiqri Mohd. Nor (27), Hafifi Hafiz Hanafi (36), Muhamad Ramadan Rosli (54) dan Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-67 dan 70.

Manakala pakar flick China, Du Talake menjaringkan gol tunggal skuad bimbingan Yang Liu itu pada minit ke-42 menerusi pukulan sudut penalti.

Sementara itu, Kevin yang dijangka diturunkan menentang China hari ini mahu membuktikan kemampuannya kepada Dhaarma Raj agar terpilih dalam senarai 18 pemain ke Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bermula 26 April depan.

“Bukannya saya berehat setiap masa, saya juga menyertai latihan dan saya fikir saya telah melakukan banyak peningkatan ketika ini,” jelas Kevin.

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment