Wednesday, April 16, 2014

Barisan muda kurang semangat, motivasi


Kuala Lumpur: “Skuad badminton Piala Thomas negara perlukan suntikan semangat dan motivasi.” Itu pandangan Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria menjelang pusingan akhir Piala Thomas di New Delhi, India pada 18-25 Mei.

Menurut Norza, prestasi buruk dipamerkan barisan pemain negara dalam dua Kejohanan Siri Super di India dan Singapura amat membimbangkan BAM yang sebelum ini menyasarkan sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Thomas.

Baik pemain perseorangan mahupun beregu, keputusan di dua kejohanan itu menimbulkan pelbagai persoalan adakah sasaran BAM itu terlalu tinggi hingga memberi tekanan kepada pemain sebelum melangkah ke kejohanan itu.

“Keputusan di Singapura dan India memang mencemaskan kita dalam usaha barisan kejurulatihan mempersiapkan pemain ke Piala Thomas.

“Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei gambar) bagi saya tidak ada masalah daripada sudut prestasinya cuma mungkin kekalahan di tangan Simon Santoso disebabkan salah perancangan atau kepenatan.

“Apa yang membimbangkan kita ketika ini prestasi pemain perseorangan lain dan beregu yang nampaknya tidak menunjukkan peningkatan. Tetapi ingin saya ingatkan selain Chong Wei dan Tan Boon Heong, pemain lain semuanya masih muda dan inilah trasformasi BAM melahirkan pemain baru.

FotoDatuk Lee Chong Wei
“Hasilnya bukan hadir dalam sehari dua, ia memakan masa lama. Pada pandangan saya, pemain kita tidak kurang hebatnya cuma perlukan motivasi bagi memulihkan semangat mereka terutama menjelangnya saingan Piala Thomas,” katanya.

Beliau akan berbincang dan meneliti laporan disediakan jurulatih bagi mencari formula terbaik membantu meningkatkan prestasi pemain.
Pada kejohanan itu, Malaysia dijangka mudah melepasi peringkat Kumpulan C dianggotai India, Korea Selatan dan Jerman.

Pada edisi 2012 di Wuhan, China, Malaysia tersingkir di suku akhir. Kali terakhir Malaysia mendakap kejuaraan Piala Thomas 22 tahun lalu di Kuala Lumpur apabila menumbangkan Indonesia di final.


Oleh Mohd Firdaus Hashim - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment