Monday, April 21, 2014

Amaran keras Kim Swee


BARISAN pelatih skuad negara diingatkan agar jangan mengulangi sikap 'ponteng' latihan.


JANGAN ada lagi pemain yang ponteng kem latihan!. Itu amaran pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee terhadap kesemua pelatih supaya hadir melaporkan diri bersama kem latihan skuad kebangsaan yang akan bermula di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya hari ini.

Biarpun ada pemain seperti penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat lewat melaporkan diri tatkala Kim Swee menerajui tugas buat kali pertama selaku pengendali sementara skuad Harimau Malaya pada Mac lalu, Kim Swee begitupun optimis ia tidak lagi berulang kali ini.
Menurut beliau, kehadiran kesemua 23 pelatih kali ini cukup penting menjelang aksi persahabatan berdepan Filipina di Cebu pada 27 April depan.

“Saya yakin situasi itu (kegagalan pelatih melapor diri) tidak lagi berulang kali ini.

“Biarpun cuma aksi persahabatan, keputusan berdepan Filipina cukup penting kerana ia berstatus kelas A dan mampu memperbaiki kedudukan ranking FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
“Jadi, saya harap kesemua pelatih dapat menghadiri kem latihan yang akan bermula esok (hari ini),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga enggan mana-mana pihak mensensasikan ketiadaan Mat Yo dalam senarai pelatih kali ini.

Ini kerana, beliau mementingkan prestasi semasa pemain selain hanya memiliki masa yang cukup terhad bagi membentuk skuad yang mantap berdepan Filipina.

“Ada dua sahaja muka baharu (Norfarhan Muhammad dan Ronni Harun) dalam senarai pelatih kali ini.
“Filipina sekarang bukan macam 10 tahun lalu, mereka juga banyak menjalani aksi persahabatan yang kompetitif jadi kami harus bersedia.

“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menentukan skuad sebenar kerana saya belum menerima sebarang laporan berhubung kecederaan terkini mana-mana pelatih.

“Jadi, segala-galanya akan dapat dinilai esok (hari ini) termasuk sama ada mahu memanggil pemain dalam senarai simpanan (KIV) bagi menggantikan mana-mana pelatih yang tercedera,” jelas beliau.
 
 
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2zVC7QRoe

No comments:

Post a Comment