Thursday, April 10, 2014

Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari Banggakan Keluarga Allahyarham


KUANTAN, 10 April (Bernama) -- Keluarga lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari melahirkan rasa bangga apabila nama akademi bola sepak di Gambang, Kuantan, dinamakan sempena jasa tokoh bola sepak negara itu.

Isteri Allahyarham, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, 58, berkata beliau sekeluarga amat terharu dan berbangga dengan penghargaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara hari ini, turut mengumumkan nama baharu akademi tersebut sebagai Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

Allahyarham Mokhtar pernah mengharumkan nama negara di pentas sukan bola sepak dunia bermula tahun 1972 sehingga 1985.

"Saya harap Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari juga mampu melahirkan bakat baharu bola sepak negara bukan hanya setanding tetapi lebih baik daripada Allahyarham," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Menurut Zarina, Allahyarham suaminya yang meninggal dunia 23 tahun lepas itu adalah seorang yang tegas dan berdikasi dengan kerja dan sentiasa berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa tanpa cepat putus asa.

Sementara itu, anak bongsu Mokhtar, Nur Arina Mokhtar berkata menjadi impian bagi keluarganya untuk melihat pasukan bola sepak negara mencapai kejayaan membanggakan di peringkat dunia satu hari nanti.

Nur Arina, 26, berkata ayahnya adalah seorang yang bersungguh-sungguh dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak namun beliau tidak pernah lupa kepada keluarga.

"Bagi saya ayah adalah idola keluarga dan percaya ramai peminat bola sepak masih menjadikan beliau sebagai idola mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment