Monday, March 03, 2014

Zolkples Puas Hati Program Latihan Baharu Skuad Sepak Takraw

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong berpuas hati dengan perkembangan positif perjalanan program latihan baharu skuad sepak takraw kebangsaan yang disifatkan lebih teratur daripada sebelum ini.

Beliau berkata perubahan itu dapat dilihat dalam beberapa bulan sejak kebelakangan ini apabila MSN dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mencapai kata sepakat mengguna kaedah baharu dalam program latihan sukan sepak takraw.

"Apa yang penting adalah program latihan atlet berjalan baik dan pemain yang dipilih tidak mempunyai masalah untuk mengikuti program tersebut," katanya kepada Bernama Ahad.

Beliau berharap kaedah baharu itu mampu membawa perubahan besar kepada skuad sepak takraw kebangsaan.

"Kita tengok dahulu jika kaedah ini mampu membawa perubahan kearah pembaikan, maka pendekatan yang sama akan diguna pada sukan-sukan lain," katanya.

Zolkples berkata skuad sepak takraw kebangsaan kini tidak lagi dibebani dengan masalah kekurangan jurulatih apabila empat orang jurulatih baharu dilantik.

"Diharap kehadiran mereka (jurulatih) dapat membantu usaha memulihakan sukan sepak takraw dan mengembalikan semula kegemilangan sukan itu pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan PSM akan menunda mesyuarat agungnya (AGM) yang sepatutnya berlangsung pada April ini, Zolkples berkata MSN tidak campur tangan dalam urusan dalaman persatuan sebaliknya perkara tersebut di pantau oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

"MSN tidak akan campur tangan dalam menentukan tarikh AGM namun PSM perlu mengikut arahan PPS agar persatuan mengadakan AGM pada April ini," katanya.

Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail sebelum ini memberi bayangan awal akan menunda tarikh AGM dengan alasan keputusan tarikh AGM hanya akan diputuskan pada mesyuarat tertinggi persatuan yang akan diadakan selepas pusingan akhir Siri Super ISTAF.

Kejohanan itu dilangsungkan di Stadium Titiwangsa di sini dari 5 hingga 9 Mac ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment