Tuesday, March 04, 2014

Usah melulu label Ultras samseng


Johor Bahru: Wajarkah kumpulan penyokong tegar bola sepak negara Ultras Malaya digelar samseng?

Seharusnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya melabelkan penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang skuad kebangsaan selaku pemain ke-12 memberi dorongan dan semangat, dilabel sebegitu.

Sekurang-kurangnya begitulah yang dirasai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tampil dengan kenyataan media supaya FAM bersikap lebih terbuka dan mendengar apa jua luahan daripada kumpulan Ultras Malaya yang begitu dahagakan pembaharuan demi kemajuan bola sepak negara.

Tunku Ismail berkata, penyokong bola sepak tanah air mahukan integriti dan ketelusan FAM agar lebih profesional dan tidak terus menghukum mana-mana penyokong dengan melabelkan mereka sebagai samseng.

“FAM sering kali menyatakan sebarang aduan hendaklah dilakukan melalui saluran yang betul. Namun segala permasalahan diajukan melalui saluran yang sepatutnya tidak pula menunjukkan sebarang hasil positif.

“Mungkin kecewa dengan tiada maklum balas FAM, maka sebab itulah Ultras Malaya terpaksa meluahkan perasaan marah dan kecewa secara sedemikian.

FotoTUNKU Ismail (kanan) melepasi pemain lawan ketika pasukan pilihannya menentang pilihan Johor FA di Stadium Larkin, semalam.
“Apapun saya ingin tegaskan penggunaan suar dan bom asap pada mana-mana perlawanan tidak seharusnya digunakan kerana kedua-dua bahan itu dilarang dan berbahaya,” kata Tunku Ismail.

Sabtu lalu, penyokong Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap ketika aksi persahabatan membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Filipina di Stadium Selayang yang mengakibatkan perlawanan terhenti selama lapan minit pada minit ke-30.

Apapun Tunku Ismail berkata, beliau tidak mahu FAM cepat melatah, sebaliknya berharap badan induk bola sepak negara itu bersikap keterbukaan dan mendengar luahan penyokong bola sepak tanah air.

“Saya berharap FAM mengambil pengajaran positif daripada insiden berkenaan. FAM juga harus membezakan antara ultras dan hooligan (samseng). Jangan labelkan Ultras Malaya sebagai samseng kerana selama ini, kumpulan itulah yang sentiasa beri sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.

“Kita juga mesti lihat mereka (Ultras Malaya) sebagai penyokong bola sepak yang inginkan badan pentadbir bola sepak yang jujur dan telus dengan diuruskan oleh mereka yang mempunyai integriti tinggi dan bukan hanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.



Oleh Rizar Mohd Noor  - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment