Tuesday, March 04, 2014

Ultras harus guna saluran sesuai


Rembau: Penyokong Ultras Malaya seharusnya menggunakan saluran tepat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bukannya mengganggu perlawanan dengan menimbulkan kekecohan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau memahami rasa tidak puas hati mereka tindakan membakar suar dan membaling bom asap ke padang pada perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium MP Selayang, dianggap melampau.

“Kita boleh tidak bersetuju dengan hala tuju FAM tapi tanda protes dengan bertindak bakar suar dan mercun serta membaling objek, saya tidak boleh terima. “Tindakan itu bukan saja menggugat keselamatan malah memalukan negara. Apatah lagi keadaan (protes) berlaku ketika perlawanan antarabangsa,” katanya selepas menghadiri Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 di Dataran Rembau, semalam.

Khairy berkata, penyokong Ultras Malaya boleh menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa tidak puas hati atau menghantar memorandum bantahan kepada badan induk bola sepak atau melaluinya sendiri selaku menteri. Menurutnya, ruang perbincangan dalam mencari jalan penyelesaian masalah daripada pihak tertentu dan kelab penyokong sukan di negara ini masih terbuka.

“Pintu saya sentiasa terbuka untuk bertemu dengan sesiapa saja termasuk kelab penyokong, pemain dan atlet sekiranya ada masalah.

“Sebelum ini, saya pernah bertemu dengan pelumba basikal dan pemain sepak takraw negara bagi menyelesaikan konflik dalaman dengan persatuan masing-masing,” katanya. Katanya, pihaknya sedar tindakan Ultras Malaya membuat provokasi itu mempunyai hubung kait dengan kongres pemilihan FAM.

FotoKHAIRY (dua dari kiri) menyampaikan jersi kuning kepada pemenang Peringkat 5, Bradley White sempena Le Tour de Langkawi di Dataran Rembau, Negeri Sembilan.
“Kita faham simbolik itu (melakukan provokasi hingga perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-30), tapi jangan mendahului keputusan yang belum ditentukan kongres,” katanya. “Anggap kejadian itu sebagai amaran terakhir. Apa lebih penting sekarang ini FAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berbincang cara untuk meningkatkan kawalan keselamatan.”



Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment