Monday, March 03, 2014

Ultras bakal kena tindakan: Khairy



Georgetown: “Sebelum ini kita sudah ada perjanjian dengan Ultras Malaya supaya tidak menggangu perlawanan, tetapi kelmarin mereka sudah melampau,” tegas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengulas insiden kekacauan berlaku ketika perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Akibat tindakan penyokong berkenaan, perlawanan itu terpaksa dihentikan pada minit ke-30 ia juga menjejaskan konsentrasi pemain negara yang memulakan aksi dengan gaya permainan terbaik.

Khairy kurang senang dengan insiden itu turut menyifatkan tindakan penyokong Ultras Malaya yang membakar suar dan membaling bom asap ke padang sebagai tindakan amat melampau.

Malah tindakan sama bukan saja menyebabkan perlawanan tergendala sebaliknya turut mengancam keselamatan penyokong lain berada dalam stadium ketika itu.

“Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sudah banyak bertoleransi dengan kelab penyokong itu namun insiden berkenaan tetap berulang sehingga perlawanan terpaksa dihentikan lebih daripada lapan minit.

“Selama ini kami sudah bertoleransi dan kini sampai masanya tindakan di ambil ke atas mereka,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra, Pelancaran ‘Wheels For All’ dan Penyerahan Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M) bersama mahasiswa di Kompleks Cahaya Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Beliau juga sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengemukakan satu laporan kepada FAM berhubung insiden dianggapnya amat melampau dan mencemarkan imej negara.

“Saya juga minta FAM dan polis mengadakan perbincangan bagi memperketat dan meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk stadium supaya perkara ini tidak berulang,” katanya.

Tindakan kumpulan Ultras Malaya itu dipercayai akibat rasa tidak berpuas hati dengan kepimpinan FAM dan menyuarakan bantahan dengan melakukan provokasi berkenaan sehingga berlaku kekecohan.

No comments:

Post a Comment