Friday, March 21, 2014

TMJ masih samar-samar


Johor Bahru: Masih menjadi tanda tanya sama ada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) masih belum menyatakan kesediaannya secara terbuka untuk bertanding dalam Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM, Mei nanti.

“Semuanya terserah kepada ahli gabungan untuk membuat pilihan siapa calon bakal bertanding nanti.

“Itu semua kena tanya ahli gabungan, mereka lebih tahu siapa yang layak,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mengenai kesediaan beliau bertanding jawatan tertinggi itu.

Tunku Ismail ditemui ketika meninjau kemudahan gimnasium dan pusat pemulihan pemain di Padang Latihan Pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Seri Gelam, semalam.

Jawatan Presiden FAM yang kini disandang Sultan Ahmad Shah mula hangat dibincangkan apabila badan induk itu mengumumkan pencalonan kini dibuka sebelum kongres pemilihan Mei ini.
Kelmarin, Annuar menerusi status Facebook miliknya mengesahkan Tunku Ismail bersedia merebut jawatan berkenaan bagi penggal 2014-2018.

Sebelum ini, Tunku Ismail berkata beliau tidak terfikir untuk merebut mana-mana jawatan tertinggi badan induk itu kerana keutamaannya terhadap pembangunan bola sepak Johor, selain masih muda untuk memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, Johor DT menjadi pasukan bola sepak pertama di negara ini mempunyai kemudahan dan kelengkapan gimnasium serta pusat pemulihan pemain setaraf pasukan bola sepak profesional di luar negara.

Tunku Ismail berkata, kemudahan dan kelengkapan dimiliki pasukan itu juga setaraf dengan kemudahan di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Selain MSN di negara ini, kami menjadi satu-satunya 'individu’ yang mempunyai kemudahan sebegitu di negara ini. Sebanyak RM3.2 juta dibelanjakan untuk kelengkapan ini dan tidak salah kita melabur untuk sesuatu yang berfaedah,” katanya.

Beliau juga merancang untuk menyediakan kemudahan lain termasuk memasang lampu limpah di padang latihan terbabit serta membangunkan akademi bola sepak untuk peringkat umur lebih muda.

Dijangkakan kemudahan dan peralatan di pusat pemulihan pemain itu lengkap sepenuhnya bulan depan.

Pusat itu dilengkapi kemudahan jakuzi, tub mandi ais, bilik persalinan pemain, gimnasium, pusat rawatan fisioterafi serta ruang pejabat jurulatih dan juga pengurus pasukan.



Oleh Isma Ismail - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment