Thursday, March 06, 2014

Theo Bos Raih Kemenangan Kedua LTDL 2014 Dalam Laluan Paling Jauh


Theo Bos (tengah)
Daripada Zuriati Zulmi

PEKAN, 5 Mac (Bernama) -- Penunggang Belkin-Pro Cycling Team Theo Bos meraih kemenangan keduanya dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 dengan menjuarai peringkat paling panjang dalam perlumbaan ini iaitu sejauh 230.1km dari Kota Tinggi ke Pekan, Rabu.

Pelumba Belanda ini memecut ke garisan penamat dengan catatan masa lima jam, 33 minit dan 21 saat, mengatasi pelumba Lithuania Aidis Kruopis daripada pasukan Orica Greenedge dan pelumba Colombia Leonardo Duque, Team Colombia.

Bos dan rakan sepasukan tenang memecut di dua selekoh tajam dalam jarak terakhir 500 meter untuk melakar kemenangan di Pekan, tempat yang sama Alessandro Petacchi mencatat kemenangan pertama sebagai pelumba profesional pada 1998.

Sementara itu, dalam pertandingan pecut hari Rabu, Kruopis menyambar jersi Biru daripada penunggang Belanda yang mewakili pasukan OCBC Singapore Thomas Rabou setelah mengumpul 61 mata, manakala penunggang Ireland, Matt Brammeier mengekalkan jersi Merah dalam perlumbaan mendaki dengan meraih 34 mata.

Penunggang Iran, Mirsamad Pourseyedigolakhour dari Tabriz Petrochemical Team mengekalkan jersi Kuning sebagai pendahulu dalam klasifikasi umum dan jersi Putih sebagai penunggang Asia terbaik dengan catatan masa 25'17:02.

Pasukannya juga menduduki tempat pertama bagi klasifikasi umum berpasukan Asia setelah mengumpul masa 75'55:31, manakala MTN Qhubeka menduduki tempat teratas bagi klasifikasi umum dengan masa 75'53:53.

Mohd Harrif Salleh dari Terengganu Cycling Team (TSG) muncul sebagai penunggang terbaik Malaysia, Rabu, apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Para peserta Khamis akan berlumba dari Kuantan ke Marang, Terengganu, satu lagi laluan panjang iaitu sejauh 202.2km.

Mereka akan mengayuh di zon pecut Kemaman, Kerteh dan Dungun, dengan dua zon mendaki iaitu di Bukit Anak Dara dan Kijal.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment