Wednesday, March 05, 2014

Tengku Abdullah Mahu FAM Cari Jalan Selesaikan Isu Kekacauan

KUANTAN, 4 Mac (Bernama) -- Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mencari jalan terbaik bagi menangani isu kekacauan yang timbul ketika perlawanan bola sepak membabitkan skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM itu berkata beliau tidak mahu melihat insiden yang berlaku ketika pertemuan persahabatan Harimau Malaya dan Filipina Sabtu lepas berulang.

"Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan, saya harap FAM mencari jalan terbaik bersama pihak Ultras Malaya supaya kelakuan seperti malam itu tidak berterusan," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Tengku Abdullah diminta mengulas mengenai tindakan liar Ultras Malaya membakar suar dan mercun ketika aksi persahabatan skuad negara dan Filipina di Stadium Selayang, Kuala Lumpur yang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama lapan minit.

Tengku Abdullah juga membayangkan FAM akan dikenakan tindakan oleh badan bola sepak antarabangsa susulan insiden itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan FAM akan mengkaji semula tahap keselamatan dalam penganjuran perlawanan bola sepak di negara ini.

"Jangan jadikan medan bola sepak seperti satu medang perang, kalau semua undang-undang nak dilanggar ini petanda tidak sihat," katanya.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Isalam dan Adat Resam Melayu Pahang terdahulu menerima sumbangan zakat perniagaan Tabung Haji Pahang sebanyak RM2.6 juta di Istana Abdul Aziz di sini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment