Monday, March 17, 2014

‘Tak perlu ambil masa’


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kamaruddin Abdullah berpendapat kes berprofil tinggi ‘Terowong Larkin’ perlu diselesaikan segera dan berharap tiada campur tangan dalaman yang bakal mempengaruhi keputusan perbicaraan itu nanti.

Beliau mempersoalkan tempoh masa yang diambil oleh badan induk itu untuk membawa kes berkenaan ke Jawatankuasa Tatatertib sedangkan pertuduhan dikeluarkan kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) boleh dibuat berdasarkan laporan Komisioner Perlawanan.

“Pertuduhan FAM kepada Johor DT hanyalah gagal menyediakan kawalan keselamatan jadi tidak perlulah mengambil masa lama kerana dengan laporan Komisioner Perlawanan saja mereka sudah boleh mengeluarkan surat pertuduhan.

“Ada beberapa persoalan di sini kerana jika pertuduhan itu dibuat susulan insiden pergaduhan dalam terowong, kita mahu tahu siapa terbabit. Mesti ada pertuduhan kepada individu terbabit dan bukannya kepada Johor DT saja,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Taufek Abd Razak mengesahkan masih belum meneliti surat jawapan pertuduhan Johor DT dan beliau menjangkakan kes terowong Larkin bakal dibicarakan minggu ini.

FAM mengeluarkan surat pertuduhan kepada Johor DT menerusi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) atas kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan di bawah Artikel 28.1 dan pihak pengurusan skuad Harimau Selatan itu kemudian difahamkan mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan itu.
Bagi mereka mengikuti kes ini pasti tertanya-tanya apabila selepas lebih sebulan insiden pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai pasukan tuan rumah Johor DT dan T-Team pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin berlaku, kes itu masih belum ada penyelesaian.

Pergaduhan itu didakwa berlaku dalam terowong ketika pemain dan pegawai Johor DT dan T-Team menuju ke bilik persalinan selepas tamat babak pertama dengan pasukan tuan rumah mendahului 2-1.
Susulan insiden itu, The Titans kemudian bertindak menarik diri daripada babak kedua perlawanan selepas mereka mendakwa pemain import Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pegawai tertinggi Johor DT.

Menurut Kamaruddin, Jawatankuasa Tatatertib FAM perlu diberikan kuasa penuh untuk mengendalikan dan membuat sebarang keputusan berhubung kes itu tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Dulu ketika saya menjadi pengerusi memang banyak campur tangan dalaman, bila buat keputusan tidak bebas. Saya harap perkara ini tidak berlaku lagi dan jawatankuasa itu perlu lebih telus dan terbuka,” katanya.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment