Monday, March 17, 2014

Stadium Shah Alam Dibuka Semula 22 Mac Ini

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Stadium Shah Alam akan dibuka semula pada 22 Mac ini setelah ditutup sejak November tahun lepas untuk kerja-kerja naik taraf stadium berkenaan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid berkata kesemua bahagian utama stadium itu telah dinaik taraf termasuk padang, bumbung, bilik persalinan pemain dan tandas awam.

"Selain menggantikan rumput parspalum di padang, kita juga telah menaik taraf tandas awam dan memasang CCTV (kamera litar tertutup) di sekeliling stadium bagi meningkatkan aspek keselamatan," katanya kepada pemberita selepas melawat stadium berkenaan Ahad.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Abdul Khalid berkata pada tahun lepas, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah membelanjakan sejumlah RM70 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan dan diteruskan pada tahun ini bagi fasa kedua yang turut melibatkan kos sama.

"Bagi fasa kedua kita lebih menumpukan kepada aspek untuk mencantikkan stadium termasuk mengecat semula dinding stadium ini," katanya.

Abdul Khalid berkata perlawanan pertama yang bakal berlangsung sebaik stadium itu dibuka semula ialah perlawanan Liga Super antara Selangor dan Kelantan pada 22 Mac ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment