Friday, March 07, 2014

Skuad Takraw Negara Mudah Tewaskan Singapura 2-0

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Skuad sepak takraw lelaki kebangsaan meraih kemenangan pertama perlawanan peringkat kumpulan dalam kejohanan Siri Super Akhir Istaf 2013/14 selepas menewaskan Singapura 2-0.

Pada perlawanan kumpulan B itu, pasukan negara hanya mengambil masa 25 minit untuk menewaskan Singapura dengan 15-5 dan 15-8 di Stadium Tertutup Titiwangsa di ibu negara, Rabu malam.

Skuad negara diwakili Izurin Refin, Muqlis Borhan, Hanafiah Dolah, Syahir Rosdi dan Khairul Zaman Hamir manakala pasukan Singapura dibarisi Daniel Feriza Padzli, Farhan Aman, Ahmad Suffiyan, Hafiz Nor Izam dan Nurirwan Mazlan.

Jurulatih sepak takraw negara, Jamaluddin Hassan berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya itu namun mereka perlu memperbaiki teknik servis agar lebih tepat pada perlawanan seterusnya menentang Perancis, Khamis.

"Set pertama memang nampak mudah, servis pemain pun tepat, tetapi pada set kedua pemain negara nampak gementar sedikit, tekong negara, Izurin bermain dengan baik dan kurang membuat kesilapan.

"Tekong Singapura pula banyak membuat kesilapan dan memberi kelebihan kepada pasukan negara. Bagi saya, pemain baharu yang pertama kali beraksi pada Istaf kali ini mempamerkan aksi cemerlang tetapi masih memerlukan lebih banyak pendedahan," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, skuad wanita negara juga meraih kemenangan selepas menewaskan pasukan Jepun 2-0, dengan mata 15-8 dan 15-10 pada perlawanan peringkat kumpulan C.

Skuad wanita negara dibarisi Noor Fairuz Azizan, Nor Farhana Isnail, Rahilah Harun, Nurul Izzatul Hikmah Zulkifli dan Emilia Eva Natasha Saudia.

Skuad negara akan menentang pasukan India, Khamis.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment