Thursday, March 20, 2014

Skuad hoki remaja terima anugerah khas SAM

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja kebangsaan menjadi pilihan menerima Anugerah Khas di majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2013, pada 3 April.

Skuad kebangsaan itu diiktiraf selepas mendapat tempat keempat Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India, Disember lalu, sekali gus melepasi sasaran tempat keenam oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa berkata, pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David antara calon disenarai pendek untuk Anugerah Atlet Terbaik SAM-100Plus.

Selain itu calon lain ialah jaguh bina badan negara Sazali Samad, pasangan penerjun wanita negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee serta atlet wushu kebangsaan Diana Bong dan Hon Mun Hua.

“Pencalonan dilakukan dengan kerjasama Exco SAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kesemua calon disenarai pendek berdasarkan pencapaian cemerlang mereka pada 2013,” katanya pada sidang media semalam.

Majlis penyampaian anugerah dijadual diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya dan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pemenang Atlet terbaik SAM-100PLus 2013 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi. Selain anugerah Atlet Terbaik, anugerah lain ialah Anugerah Kemunculan Semula, Anugerah Atlet Muda serta Anugerah Persatuan Paling Dinamik.

Sejumlah RM40,000 ditawarkan untuk ahli SAM di bawah enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (cetak dan elektronik), Komentar Terbaik (cetak dan elektronik), Laporan khas terbaik (cetak dan elektronik) dan Fotografi Terbaik.

Juara keseluruhan daripada enam kategori ini akan dipilih sebagai penerima Anugerah Utama dengan hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 beserta trofi manakala setiap pemenang keenam-enam anugerah ini akan menerima RM3,000 serta trofi.



 - BERNAMA

No comments:

Post a Comment