Thursday, March 20, 2014

Shahidan tidak layak bertanding

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 25 Mei depan.

Perkara itu disahkan oleh seorang sumber dalaman FAM ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut sumber tersebut, setiap calon yang berhasrat bertanding haruslah bebas daripada hukuman penggantungan.

Pada Februari tahun lalu, FAM telah mengenakan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan ke atas Shahidan selain denda RM39,000.

Ini kerana FAM mendapati Shahidan bersalah melanggar Statut FAM Artikel 88 kerana mengkritik badan induk itu secara terbuka.
“Mana-mana calon yang mahu bertanding pada Kongres FAM itu nanti harus bebas daripada sebarang hukuman penggantungan.

“Jika beliau masih berminat untuk bertanding, maka beliau haruslah tunggu sehingga tempoh penggantungan itu tamat.
“Yang pasti, calon yang masih menjalani hukuman penggantungan tidak dibenarkan untuk bertanding pada pemilihan itu nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketika ditanya adakah Shahidan dibenar membuat rayuan bagi membolehkannya bertanding, sumber itu berkata: “Sebarang rayuan tidak akan diterima memandangkan penggantungan tersebut adalah paling minimum.

“Beliau tidak boleh merayu kerana setiap calon yang dikenakan hukuman minimum, tidak akan dibenarkan membuat sebarang rayuan.”

Selain Shahidan, FAM turut mengenakan hukuman yang sama terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang ketika itu turut memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM didakwa didapati bersalah melanggar Statut FAM Artikel 88 ekoran mengkritik skuad kebangsaan pada April 2012.
Terdahulu, FAM telah mengumumkan sesi pemilihan baharu bagi penggal 2014-2018 akan diadakan pada Kongres FAM 25 Mei depan.

Jawatan-jawatan yang bakal dipertandingkan adalah Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) dan 10 ahli Exco FAM yang terdiri daripada lapan lelaki serta dua wanita.

No comments:

Post a Comment