Thursday, March 20, 2014

Shahidan tetap sedia bertanding

Kuala Lumpur: Walaupun masih menjalani hukuman penggantungan, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim tetap berminat bertanding pada Mesyuarat Kongres Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 25 Mei ini sekiranya mendapat pencalonan ahli gabungan.

Baginya, beliau tetap menganggap dirinya tidak bersalah apabila dikenakan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan pada Februari tahun lalu dan bersedia menyahut cabaran jika ada ruang untuknya bertanding merebut jawatan tertinggi FAM.

“Bila saya digantung? Mana ada peraturan dalam dunia ini yang membenarkan tindakan ke atas mereka yang minta duit daripada persatuan (FAM) untuk bayar gaji pemain. Saya tidak tahu sama ada boleh bertanding atau tidak, tapi kalau ada pihak yang mencalonkan saya, saya bersedia mempertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam kancah bola sepak Perlis, Shahidan dianggap individu cukup berpengaruh ketika skuad Singa Utara itu meniti zaman kegemilangan pada 2003-2008 namun kepimpinannya dalam PFA berakhir apabila beliau dikenakan hukuman kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM akibat mengkritik badan induk itu secara terbuka.

Selain PFA, beliau cukup berpengalaman dalam menerajui sukan tanah air apabila pernah menjadi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selain masih lagi menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), sekali gus menjadikannya antara calon yang boleh diketengahkan bersama FAM.

“Kalau saya bertanding, saya hanya akan bertanding jawatan presiden, jika mendapat pencalonan. Semangat saya bukan untuk mempertahankan saya tidak bersalah, tapi saya mahu berada dalam FAM demi bola sepak negara,” kata Shahidan.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment