Tuesday, March 04, 2014

Sepak Takraw: Skuad Negara Tagih Sentuhan Dua Muka Baharu

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Skuad takraw negara menagih sentuhan berbisa dua muka baharu Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohd Khairul Zaman Akhbar pada kejohanan Siri Super Akhir Istaf 2013/14.

Jurulatih skuad sepak takraw negara Jamaluddin Hassan berkata dua muka baharu itu dilihat mampu membantu skuad negara untuk muncul juara siri itu yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa dari Rabu hingga Ahad ini.

"Walaupun Thailand tidak menurunkan pasukan utama mereka, bagi saya tekanan dan saingan tetap ada, yang penting sekarang skuad kali ini perlu membuktikan kebolehan mereka.

"Saya rasa pemain tekong kita (Mohammad Syahir) paling konsisten dalam dua kejohanan Piala Presiden sebelum ini, kita perlu beri peluang kepada pemain muda ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi kepada skuad lelaki dan wanita kebangsaan di Gimnasium II, Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail.

Mohammad Syahir, 18, ketika ditemui berkata dia akan menggunakan kebolehan dan pengalaman untuk membantu pasukan mencipta kejayaan besar pada penampilan sulungnya bersama skuad senior kebangsaan.

"Saya amat teruja apabila dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan, kejohanan ini mempunyai standard yang tinggi jadi saya akan melakukan yang terbaik terutamanya berhadapan dengan pasukan yang kuat seperti Thailand," kata Syahir yang mempunyai ketinggian 189 sentimeter itu.

Sementara itu Mohd Khairul, pemain apit kanan kebangsaan, berkata dia tidak akan mensia-siakan peluang beraksi pada kejohanan itu nanti.

Selain Mohd Syahir dan Mohd Khairul, regu negara turut dibarisi Izurin Refin, Hanafiah Dolah dan Muqlis Borhan.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama pasukan dari Singapura dan Perancis yang mendapat penyertaan secara wildcard, dalam usaha mempromosikan sukan berkenaan ke mata dunia.

Kumpulan A terdiri pasukan Thailand, Jerman dan India; kumpulan C (Indonesia, Amerika Syarikat dan Korea Selatan), kumpulan D (Jepun, Brunei, China dan Iran).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment