Friday, March 14, 2014

Sentuhan Kim Swee bawa tuah


Kuala Lumpur: Sentuhan pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee ternyata membawa tuah kepada kedudukan ranking skuad negara apabila melonjak sembilan anak tangga kepada 141 berbanding 150 pada bulan lalu.

Kenaikan ketara berkenaan hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia selain seri tanpa jaringan dengan Filipina mengumpul 62.78 mata.

Skuad negara kini mengumpul 175 mata menurut senarai terbaru dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam, kedudukan paling baik, ke-128 sejak Mac 2011.

Malaysia juga melonjak di kedudukan 22 pasukan terbaik Asia bulan ini berbanding 29 bulan lalu.
Manakala di Asia Tenggara, Malaysia ketiga di belakang Vietnam dan Filipina.

“Sudah pasti ini cukup mustahak bagi saya dengan lebih banyak perlawanan kelas A perlu diatur.

Saya yakin kenaikan ini akan menarik minat negara lain terutamanya dalam kelompok negara yang berada pada ranking ke-135 hingga 145 untuk mengadakan perlawanan dengan Malaysia,” kata Kim Swee.

Namun menurutnya, usaha melonjakkan lagi kedudukan skuad negara mungkin terbantut kerana FAM bakal berdepan tindakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan pembakaran suar ketika aksi menentang Filipina 1 Mac lalu.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment