Tuesday, March 11, 2014

Senarai 18 pemain masih rahsia - Kosmo


DHAARMA RAJ (kiri) memerhati bekas ketua jurulatih, Paul Revington mengendalikan sesi latihan skuad senior negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.


KETUA jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah telah mempunyai gambaran skuad utama yang akan beraksi pada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2014 di Ipoh, Perak bermula Khamis ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, senarai penuh 18 pemain itu masih dirahsiakan dan hanya akan diumumkan selepas tamat dua perlawanan persahabatan terakhir menentang China dan Australia hari ini.

Menurut Dhaarma Raj, beliau masih lagi mahu melihat prestasi anak-anak buahnya meskipun mereka berjaya memperagakan rentak yang baik ketika menentang Kanada dalam tiga aksi persahabatan di Melaka minggu lalu.

"Saya telah kenal pasti 18 pemain yang akan menyarung jersi negara pada PSAS kali ini tetapi saya dimaklumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) supaya menghabiskan dahulu dua perlawanan persahabatan (menentang China dan Australia).

"Kami menang dua perlawanan dan tewas sekali (menentang Kanada) di Melaka tetapi kerana saya ada kumpulan pemain yang besar, jadi saya mahu tunggu tamat dua perlawanan itu dahulu.

"Macam apa yang saya katakan sebelum ini, kemungkinan besar ramai pemain-pemain remaja yang akan beraksi (pada PSAS). Apa pun, saya akan umumkan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dhaarma Raj berkata, barisan pemain remaja yang dinaikkan 'pangkat' telah menunjukkan potensi dan keyakinan tinggi untuk terus memberi saingan kepada pemain senior.

"Mereka tidak sabar untuk bermain dalam PSAS dan saya boleh lihat, mereka mempamerkan keyakinan tinggi sewaktu menentang Kanada baru-baru ini.

"Secara peribadi, saya lihat mereka ini sudah boleh memberi saingan untuk merebut tempat dengan pemain senior. Jika mereka menampilkan rentak sama (menentang Kanada), saya akan turunkan mereka di Ipoh nanti.

"Jika mereka boleh menggalas tugas dengan baik, saya pasti akan berlaku persaingan sihat merebut tempat dalam skuad negara bagi menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 (April depan)," jelasnya.

Skuad negara akan memulakan kempen PSAS menentang Afrika Selatan, Khamis ini sebelum bertemu Korea Selatan (16 Mac), Kanada (17 Mac), China (19 Mac) dan Australia (22 Mac).

No comments:

Post a Comment