Monday, March 03, 2014

'Semuanya selesai minggu ini'



DUA tonggak import Johor DT, Pablo Aimar (kiri) dan Luciano Figueroa berada di tengah padang setelah T-Team enggan meneruskan aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.


BAGAIKAN ‘menunggu bulan jatuh ke riba’.

Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan insiden kekecohan yang tercetus di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu.

Biarpun sudah lebih sebulan insiden itu terjadi, masih belum ada sebarang tanda-tanda siasatan akan diselesaikan dalam masa terdekat, sekali gus membongkar apa cerita sebenar di sebalik insiden berkenaan.

Namun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberikan jaminan bahawa segala-galanya bakal diselesaikan dalam minggu ini.

“Semuanya akan selesai dalam minggu ini, jadi harap bersabar.

“Saya tidak boleh ulas lanjut mengenai perkara itu, kami akan membuat sidang akhbar sebaik siasatan selesai sepenuhnya,” kata Hamidin kepada Kosmo! semalam.

Insiden kekecohan itu berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada waktu rehat separuh masa pertama kempen pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team.

Ekoran insiden tersebut, T-Team bertindak menarik diri dan enggan meneruskan aksi separuh masa kedua selepas pemain import dan jurulatih kecergasan, Elvado Rodrigues dan Stefano Impagliazzo mendakwa mereka dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Biarpun T-Team mengemukakan laporan rasmi berhubung insiden tersebut, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas FAM mendapati alasan keselamatan yang diberikan oleh The Titans tidak kukuh.

Dalam pada itu, Hamidin enggan mengulas lanjut sama ada FAM akan mengeluarkan surat pertuduhan kepada mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.

Pada masa sama, beliau mempertahankan kredibiliti FAM biarpun dikecam ramai pihak apabila dilihat mengambil masa yang agak lama bagi menyiasat insiden berkenaan.

“Ia bukan kes yang kecil, sebab itu semua perkara berbangkit harus diteliti dengan terperinci.
“Jadi sila tunggu... minggu ini segala-galanya akan selesai.

“(Ada kes atau tidak), itu kita akan umumkan kemudian dalam sidang akhbar itu nanti,” jelas beliau.
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz2ure6Wkem

No comments:

Post a Comment