Wednesday, March 12, 2014

Sazali sasar gelaran Mr Universe ke-10



Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Sazali Abd Samad tetap bersemangat apabila masih belum mahu bersara walaupun usianya kini sudah mencecah 47 tahun.

Malah atlet kelahiran Johor itu memasang keyakinan tinggi untuk menambah koleksi kejuaraannya di pentas antarabangsa terutamanya dalam mempertahankan gelaran Mr Universe yang sudah sembilan kali dimenanginya.

“Tidak banyak kejohanan besar tahun ini terutamanya dalam lima bulan pertama.

Malah Sukan Komanwel dan Asia juga tidak mempertandingkan acara ini, jadi saya memberikan tumpuan penuh untuk cuba meraih gelaran Mr Universe buat kali ke-10.

“Selagi mampu memberikan saingan dan mencabar kejuaraan, saya akan meneruskan usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.

Sazali atlet bina badan paling berjaya pernah dilahirkan negara apabila meraih gelaran Mr Universe sembilan kali pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 serta lapan kali gelaran Mr Asia bermula 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012.

“Tumpuan saya ketika ini memastikan lutut kiri pulih sepenuhnya kerana sedikit sakit selepas Sukan SEA penghujung tahun lalu.

Saya tidak tahu berapa lama perlu menjalani terapi, namun berharap ia mampu pulih dengan pantas.
“Kesakitan lutut ini bagaimanapun tidak menghalang saya untuk meneruskan latihan ringan bagi memantapkan lagi otot,” katanya yang sekadar meraih pingat perak di Sukan SEA Myanmar, Disember tahun lalu.

Kejohanan Dunia dijadualkan berlangsung di Mumbai, India pada November namun Sazali dijangka terlebih dulu terbabit dalam beberapa pertandingan seperti Kejohanan Bina Badan Asia Tenggara pada Jun serta Kejohanan Bina Badan Asia, Ogos ini.



Oleh Azlan Muhammad Zain - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment