Wednesday, March 19, 2014

‘Saya sedia’


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar kecil) menutup segala persoalan mengenai kesediaannya bertanding pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM, 25 Mei ini apabila menyatakan minat untuk merebut jawatan presiden badan induk tanah air itu.
Perkara itu didedahkan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya semalam yang menyatakan Tunku Ismail bersedia menawarkan diri untuk bertanding mengisi jawatan tertinggi FAM itu yang kini disandang Sultan Ahmad Shah.

“Bila saya tanya kawan-kawan Presiden PB (Persatuan Bola Sepak) Negeri, ramai yang tidak pasti sama ada mereka bersedia untuk menawarkan diri (bertanding) untuk jawatan Presiden FAM.

“Namun apabila saya sembah persoalan itu kepada DYTM Tuanku Presiden PBNJ (Tunku Ismail), ini titah baginda kepada saya... “I'll run for it (saya bersedia untuk bertanding). Saya sedia. Demi bola sepak tanah air,” tulis Annuar dalam akaun Facebook miliknya.

Annuar, bekas Timbalan Presiden FAM yang tidak boleh bertanding mempertahankan jawatan itu akibat masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM nyata memuji pendirian Tunku Ismail kerana berani tampil demi bola sepak negara.

“Inilah semangat yang kita mahu. Aktivis bola sepak negara tidak boleh hanya mengeluh mengenai prestasi negara tanpa tampil memikul tanggung jawab memperbaikinya,” katanya.
FotoANNUAR bertanya sendiri kepada Tunku Ismail mengenai isu jawatan Presiden FAM.
Persoalan mengenai siapakah yang bersedia bertanding merebut jawatan Presiden FAM mula hangat diperkatakan apabila badan induk itu mengumumkan pencalonan kini dibuka sebelum kongres pemilihan Mei ini.

Selain jawatan presiden, dua calon untuk timbalan presiden, naib presiden (empat) dan 10 ahli Exco yang membabitkan lapan calon lelaki dan dua wanita turut dipertandingkan dalam kongres pemilihan itu.
Tarikh akhir pencalonan pada 25 Mac ini dan sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi daripada Sultan Ahmad Shah mengenai pendiriannya sama ada masih mahu bertanding mempertahankan jawatannya.

Bagaimanapun bukan sesuatu yang mengejutkan jika Tunku Ismail membuat keputusan itu kerana sebelum ini beliau yang membangkitkan semula bola sepak Harimau Selatan sudah membayangkan untuk bertanding jika mendapat sokongan ahli gabungan.

Annuar yang mahu melihat perubahan dalam barisan kepimpinan FAM bagi penggal baru itu berkata, ramai pemimpin dari persatuan bola sepak negeri memberi reaksi positif untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.

“Difahamkan ramai pemimpin PB negeri sanggup menawar diri dalam saf Exco FAM kali ini. Satu perkembangan yang baik untuk bola sepak,” katanya.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment