Wednesday, March 12, 2014

‘Saya nak rehat...’


Sepang: Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei mahu berehat seketika dengan fokus utama untuk memulihkan kecederaan buku lali kirinya sebelum memikirkan misi seterusnya terutama saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di New Delhi pada Mei ini.

Chong Wei yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas muncul juara Seluruh England buat kali ketiga semalam berkata, dia tidak mahu kecederaannya itu mengganggu misinya membantu pasukan negara di India nanti.

“Keadaan saya sebelum turun beraksi di Seluruh England lagi bukan berada di tahap terbaik selepas ditimpa kecederaan ini.

“Tapi saya tidak mahu memikirkannya sangat dan hanya mahu melakukan yang terbaik di Seluruh England.

“Sekarang saya mahu berehat dulu dan melakukan pemeriksaan rapi.

Mengenai kejohanan yang akan disertai selepas ini biarlah saya berbincang dulu dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” katanya.

Chong Wei berkata, keutamaan sekarang memberi tumpuan tahap kecergasannya kerana sedar dia sangat diperlukan bagi menghadapi acara berpasukan seperti Piala Thomas.
“Saya memang sedia maklum diperlukan dalam acara berpasukan.

“Tapi saya juga harap barisan pemain muda dapat meningkatkan prestasi mereka.

Saya memang perlukan kerjasama mereka,” katanya.
Pemain berusia 31 tahun itu bagaimanapun menegaskan bukan Malaysia saja berdepan masalah mencari pengganti pemain senior yang setarafnya.
“China juga tiada pengganti sebenar untuk Lin Dan.
Foto

Indonesia juga masih tercari-cari pengganti Taufik Hidayat, begitu juga Denmark.

“Apapun saya tetap percaya pemain perseorangan negara mampu meningkatkan prestasi mereka pada masa akan datang,” katanya.

Chong Wei memenangi saingan Seluruh England buat kali ketiga selepas menewaskan jaguh China Chen Long, Ahad lalu.

Pemain nombor satu dunia itu pernah memenangi saingan berprestij itu pada 2010 dan 2011.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment