Friday, March 07, 2014

‘Saya lawan jawatan, bukan orang’

Kuala Terengganu: “Saya tidak mahu dilabel sebagai seorang yang suka memburukkan imej orang lain, ini bukan budaya saya. Jika saya melakukan kesilapan sepanjang empat tahun berada dalam Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), saya memohon maaf,” kata Timbalan Presiden badan induk itu, Mohd Shapian Ali.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT) itu tetap dengan pendiriannya untuk mencabar Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail.

“Sebelum ini ada desas-desus yang menyatakan saya menyerang peribadi presiden kerana inginkan jawatan...itu bukan cara saya, malah beliau masih menjadi sahabat saya.

“Keputusan saya mencabar jawatan presiden bukan orang lawan orang tapi hanya jawatan.

“Saya berharap jika pertandingan ini berlangsung nanti, ia perlu diadakan dalam suasana muhibah dan semangat kesukanan, bukan dalam suasana tegang demi pembangunan sukan sepak takraw,” katanya. Menurut bekas pemain Terengganu era 80-an itu, kesungguhan peminat yang inginkan perubahan menyebabkan beliau bertekad mencabar Ahmad.

“Selain itu, tidak ada kenyataan daripada presiden negeri lain untuk merebut jawatan itu, membuatkan saya menawarkan diri bertanding.
FotoAHMAD (kanan) bersama Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader ketika majlis undian Siri Super Akhir, baru-baru ini.
“Saya bukan mahu mengejar populariti sebaliknya mahu mengembalikan semula kegemilangan sukan ini,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya beliau gagal menduduki kerusi panas itu, Shapian berkata, soal menang atau kalah adalah adat pertandingan.
“Saya tidak takut tewas tetapi apa yang saya bimbang adalah prestasi pasukan negara yang semakin menjunam beberapa tahun ini sehingga menimbulkan keresahan peminat sukan itu sendiri,” katanya.
 
 


 Oleh Malik Muhamad, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment