Friday, March 07, 2014

PSM perlu berani singkir ‘petualang’


Kuantan: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) perlu berani bertindak menyingkirkan beberapa individu dalam persatuan berkenaan yang dikesan menjadi penyebab utama kegagalan badan induk sepak sukan itu.

Individu terbabit dikatakan banyak mempengaruhi tindak tanduk serta keputusan Presiden Datuk Ahmad Ismail sehingga menyebabkan banyak aktiviti persatuan gagal dilaksanakan dan lebih buruk, mengundang prestasi hambar pasukan negara di pentas antarabangsa. Naib Presiden Satu PSM Datuk Tengku Muhammad Sultan Abu Bakar berkata, kegagalan membangunkan sukan sepak takraw dalam tempoh 10 tahun (2003-2013) tidak seharusnya diletakkan di atas bahu presiden sepenuhnya.

Menurutnya, beberapa individu di sekeliling Ahmad dikesan menjadi penyebab utama program pembangunan tidak dijalankan selain kekurangan penganjuran pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Justeru, katanya untuk memastikan peranan PSM kembali di landasan sebenar, tindakan drastik menyingkirkan individu terbabit pada pemilihan nanti perlu dibuat.

“Saya yakin jika dua hingga tiga individu yang menjadi penasihat presiden dibuang, kemelut yang melanda PSM sebelum ini pasti dapat diselesaikan hasil kerjasama anggota baru.

“Saya tidak menolak beliau (Ahmad) masih layak memikul tugas presiden dengan syarat mendapat gandingan baru selain sokongan padu ahli gabungan,” katanya di sini, semalam.

Tengku Muhammad yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSNP) berkata, beliau masih boleh bekerja dengan Ahmad sekiranya presiden itu mengekalkan jawatannya pada pemilihan akan datang.

Beliau berkata, ahli gabungan perlu bijak membuat pilihan bagi memastikan PSM kembali berada di landasan sebenar demi maruah sukan sepak takraw negara.

Katanya, sekiranya ahli gabungan sebulat suara memilih Mohd Shapian Ali sebagai presiden baru untuk menerajui PSM, beliau tetap menyokong dan memberi kerjasama penuh.

“Saya kenal Ahmad dan juga Shapian yang memiliki kelebihan tersendiri. Justeru tidak ada masalah untuk saya bekerjasama dengan mereka. Siapa juga yang memegang jawatan Presiden PSM, saya akan sokong,” katanya.

Beliau berkata, baki masa yang ada sebelum pemilihan PSM diharap memberi peluang kepada ahli gabungan membuat penilaian secara profesional selain tidak terlalu dipengaruhi unsur lain.



Oleh Mohd Rafi Mamat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment